PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000.

Dalam sidang media khasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

"Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.

"Justeru, hari ini kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000," katanya menerusi pengumuman yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen, sebentar tadi.

MERUPAKAN KEPUTUSAN YANG SUKAR

Ismail Sabri berjata, ini merupakan keputusan yang sukar yang terpaksa dibuat oleh kerajaan memandangkan KWSP melibatkan simpanan hari tua rakyat.
Namun begitu, beliau menjelaskan kerajaan sedia maklum pengeluaran khas ini adalah antara jalan tengah dan mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

BERHARAP AGAR SEMUA PENCARUM MEMBUAT PENILAIAN

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri berharap agar semua pencarum dapat membuat penilaian dan mengekalkan simpanan mereka melainkan ia perlu sahaja.

"Walaupun kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan kecuali keadaan benar-benar mendesak.

"Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan," kata beliau dalam sidang khas sebentar tadi.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu.

Katanya, walaupun kerajaan memberi kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP, namun beliau merayu kepada pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

"Saya berharap pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran demi masa depan," katanya.

Pada 15 Januari lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lebih ramai ahli KWSP akan bersara di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran tambahan.

Malah katanya, hampir separuh daripada ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dan 55 peratus daripadanya terdiri daripada Bumiputera.