Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mengagihkan 10,000 komputer riba menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) untuk pelajar Tingkatan Lima dan Enam di negeri ini bermula 19 Julai sehingga 18 Oktober ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata, pemberian komputer riba yang membabitkan peruntukan RM15 juta itu diberi khusus untuk pelajar menduduki peperiksaan penting penghujung tahun ini. Pengagihan komputer riba menerusi BAIK untuk fasa pertama ini membabitkan 9,842 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan 158 dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).





TARIKH PENGAGIHAN KOMPUTER RIBA

Pengagihan akan mengambil masa selama kira-kira tiga bulan iaitu :

  • bermula 19 Julai sehingga 18 Oktober



SYARAT KELAYAKAN

Bantuan komputer riba akan diberikan kepada pelajar yang memenuhi syarat kelayakan seperti berikut:

1. Pelajar warganegara berasal dari negeri Sabah.

2. Pelajar tingkatan 5 dan 6 yang mengambil peperiksaan SPM, STPM dan STAM di penghujung tahun 2021.

3. Ibu dan bapa atau penjaga dalam golongan e-Kasih miskin tegar.

4. Satu komputer untuk satu ketua isi rumah (KIR)



Para pelajar tidak perlu melakukan sebarang permohonan. Pihak sekolah dan jabatan akan mengenalpasti pelajar yang layak dan diagih melalui sekolah masing-masing di seluruh negeri Sabah.

Kementerian Tugas-Tugas Khas bertanggungjawab menyediakan senarai pelajar yang terpilih mengikut kriteria ditetapkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah manakala Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengenal pasti serta menentukan komputer riba yang akan diagih kepada pelajar yang layak.