Pada pendapat saya, kadar pertumbuhan ekonomi seluruh negara bagi tempoh jangka masa sederhana dan panjang banyak bergantung kepada pembangunan di pantai timur semenanjung Malaysia (sebab itu kerajaan BN dahulu buat ECRL, lebuhraya CSR dan lebuhraya pantai timur fasa 2 dan fasa 3) serta Sabah dan Sarawak.

Ianya bakal menjadi "engine of growth" seluruh negara jika dirancang dan dilaksanakan dengan betul.
---
Petikan dari perbahasan parlimen saya pagi tadi:

Saya juga cadangkan apa jua visi atau pelan yang dicorakkan perlu mengambil pendekatan pandang ke timur, tetapi bukanlah sejauh ke negara Jepun, cukuplah sehingga kita pandang ke Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan juga Kalimantan.

Sabah dan Sarawak mempunyai sumber kekayaan semulajadi yang amat besar dan lokasi yang strategik, lebih dekat dengan negara- negara yang pesat membangun di Asia Timur berbanding dengan Semenanjung. Melihat kepada ini, negara Indonesia telah mula memindahkan pusat pentadbiran ke Kalimantan.

Secara asasnya, negeri yang kurang membangun akan mengalami pertumbuhan dengan lebih pesat jika diberi perhatian dan pelaburan yang sewajarnya. Adalah tidak masuk akal, jika kita menggalakkan syarikat-syarikat dari Malaysia untuk melabur ke luar negara tanpa memberi peluang mereka melabur di Sabah dan Sarawak yang penuh dengan potensi. Rancangan pandang ke Borneo ini jika dirancang dengan betul mempunyai potensi untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi seluruh negara bagi jangka masa sederhana dan panjang.

“Unity” yang sebenar ialah "Sabah dan Sarawak bersama Malaysia" dan "Malaysia bersama Sabah dan Sarawak". Bukan sekadar "Sabah untuk Sabahan" atau "Sarawak untuk Sarawakian" sahaja.

Saya harap kawan-kawan kita di Sabah dan Sarawak dan Pelabur di semenanjung Malaysia akan terbuka hati untuk melabur dan memajukan visi pandang ke Borneo ini secara bersama. ( Kata DS Najib Bin Razak )