KUALA LUMPUR, 26 Okt — Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan para pencarum membuat pengeluaran sehingga RM10,000. 

“Kini ada banyak permintaan untuk kerajaan membenarkan pengeluaran ‘one-off’ sehingga RM10,000 dari akaun 1 KWSP bagi kegunaan mendesak.

“Saya rasa permohonan ini boleh dipertimbangkan atas syarat pemohon juga perlu menandatandatangani surat aku janji untuk berjanji pencaruman semula pengeluaran ‘one-off’ ini dalam masa dua tahun akan datang selepas ekonomi pulih semula — tidak termasuk caruman bulanan biasa,” katanya. 

Sebelum ini, Dato Sri Najib pernah mencadangkan bahawa KWSP pernah membenarkan pencarum mengeluarkan wang dari akaun  bagi mengurangkan beban ekonomi akibat Covid-19.

Saranan itu disahut kerajaan dengan memperkenalkan skim i-Lestari yang membenar pencarum membuat pengeluaran maksimum RM500 sebulan. 

Terdahulu, Dato Sri Najib pernah berkata surat aku janji yang dicadang bukanlah jaminan pencarum diminta membayar semula seperti pinjaman. 

Jelasnya, ia lebih bersifat peringatan bahawa caruman KWSP penting untuk simpanan hari tua.  

“Saya mahu beritahu bahawa dividen KWSP biasanya lebih tinggi berbanding kadar faedah simpanan bank dan simpanan KWSP adalah sangat penting untuk umur atasan kita selepas bersara.

“Oleh sebab itu, tidak perlu membuat pengeluaran KWSP jika tiada kegunaan yang terdesak,” katanya lagi.