Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) adalah satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

Ia bermula sebagai projek perintis dan dianggarkan dapat menampung 800,000 penerima sebagai permulaan. Untuk makluman semua, PeKa B40 masih beroperasi seperti biasa untuk tahun 2021.Saringan kesihatan PERCUMA buat mereka yang layak masih boleh dilakukan di klinik-klinik terpilih di seluruh Malaysia.





FAKTA FAKTA PEKA B40

PeKa B40 diwujudkan atas fakta-fakta berikut:


1. Beban Penyakit Tidak Berjangkit

47.6% kumpulan B40 berumur 40 tahun dan ke atas menghidapi sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit yang belum didiagnosis.


2. Kesihatan Mental

3 daripada 10 orang dewasa menderita masalah kesihatan mental. Kumpulan B40 mencatat kadar yang lebih tinggi, iaitu 32% berbanding 28% bagi kumpulan bukan B40.


3. Beban Kanser

Kes kanser semakin meningkat. Lebih membimbangkan lagi apabila 60% dikesan pada peringkat lewat, di mana peluang untuk sembuh adalah lebih rendah


4. Rawatan Kanser

Ramai pesakit tidak melengkapkan rawatan kanser dan hanya kembali semula ke hospital apabila sudah tenat. Ini menipiskan peluang sembuh dan meningkatkan kos rawatan.


5. Kos Alat Perubatan

Walaupun rawatan di Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi subsidi yang tinggi daripada Kerajaan, sebahagian kos alat perubatan masih perlu ditanggung oleh pesakit seperti kos untuk perentak jantung, implan untuk tulang belakang, dan sebagainya. Ini menambah beban kewangan kepada mereka yang kurang berkemampuan.


6. Masalah Pengangkutan

Ramai pesakit yang kurang berkemampuan, terutamanya di kawasan pedalaman, tidak meneruskan rawatan akibat kekangan kewangan untuk membayar tambang pengangkutan.



MANFAAT-MANFAAT PEKA B40

Terdapat 4 manfaat utama melalui skim ini iaitu:

  • Saringan Kesihatan
  • Bantuan Alat Perubatan
  • Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser
  • Insentif Tambang Pengangkutan


Manfaat 1: Saringan Kesihatan Percuma

Saringan kesihatan boleh dilakukan di mana-mana klinik swasta yang berdaftar dengan skim ini dan mempunyai pelekat PeKa B40 di pintu klinik.


Jenis Saringan Kesihatan yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:

  • Pemeriksaan kesihatan
  • Pengambilan sejarah kesihatan dan penyakit individu dan keluarga termasuk faktor risiko kesihatan
  • Saringan kesihatan mental
  • Pemeriksaan fizikal
  • Pemeriksaan klinikal payudara untuk penerima wanita, dan pemeriksaan klinikal prostat untuk penerima lelaki yang berisiko
  • Pemeriksaan makmal
  • Ujian sel darah
  • Ujian kawalan gula dalam darah
  • Ujian paras kolesterol

Nota : Kos rawatan, ubat dan pembedahan tidak termasuk dalam manfaat PeKa B40 kerana telah ada subsidi untuk semua perkhidmatan tersebut di hospital-hospital KKM.





Manfaat 2: Bantuan Peralatan Perubatan (Maksimum RM20,000)

Manfaat ini melibatkan bantuan peralatan perubatan yang diperlukan dalam prosedur/ rawatan dan tidak diberikan subsidi kos alat di hospital-hospital KKM.

Had maksimum sebanyak RM20,000 diberikan dalam bentuk alat perubatan yang dibelikan.

Manfaat 2 ini merangkumi alat-alat perubatan di dalam kategori berikut:

  • Stent untuk jantung
  • Alat sendi tiruan
  • Alat bantuan pendengaran
  • Perentak jantung
  • Prostesis dan implan untuk tulang belakang
  • Prostesis dan ortosis tulang anggota
  • Kanta mata intraokular
  • Alat terapi pernafasan dan oxygen concentrator
  • Bantuan sokongan nutrisi
  • Kerusi roda

Saringan Kesihatan (Manfaat 1) perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum penerima PeKa B40 boleh menikmati manfaat ini. Manfaat ini hanya terpakai apabila penerima PeKa B40 dirawat di hospital KKM sahaja, di mana permohonan perlu dilakukan oleh pakar-pakar perubatan KKM bagi pihak pesakit yang penerima PeKa B40.





Manfaat 3: Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser

Manfaat 3 ini adalah bertujuan untuk mendorong pesakit kanser, lebih-lebih lagi mereka yang di peringkat awal rawatan dan tahap permulaan penyakit, untuk melengkapkan pelan rawatan mereka seperti mana yang telah dirancang oleh pakar kanser KKM.

  • RM1,000 dibayar kepada pesakit kanser yang melengkapkan rawatan di Hospital KKM.
  • Saringan Kesihatan (Manfaat 1) perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum penerima PeKa B40 boleh menikmati manfaat ini.
  • Insentif dipecahkan kepada dua (2) kali bayaran bergantung kepada peringkat rawatan.
  • Pembayaran insentif adalah secara terus kepada penerima PeKa B40 yang layak melalui akaun bank yang telah pun didaftarkan.
  • Permohonan dan perakuan kelayakan Manfaat 3 perlu dilakukan oleh doktor atau pakar perubatan KKM bagi pihak pesakit yang penerima PeKa B40.
  • bantuan peka b40






Manfaat 4: Insentif Tambang Pengangkutan

Manfaat ini bertujuan untuk meringankan beban membayar kos pengangkutan apabila penerima mendapatkan rawatan di hospital KKM. Ianya tidak bertujuan untuk merangkumi keseluruhan kos perjalanan.

Penerima Manfaat 2 (Bantuan Alat Perubatan) atau/ dan Manfaat 3 (Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser) sahaja akan mendapat manfaat tambang pengangkutan ini.


1. Had maksimum bantuan yang boleh diterima:
  • RM500 untuk Semenanjung Malaysia
  • RM1,000 untuk Sabah/ Sarawak/ Labuan

2. Jumlah insentif tambang yang akan diberikan adalah tertakluk kepada jarak antara hospital dan rumah penerima dan pada kadar yang telah ditetapkan.

3. Permohonan dan perakuan kelayakan Manfaat 4 perlu dibuat oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan atau pegawai perubatan yang merawat.

4. Pembayaran insentif PeKa B40 ini adalah secara terus kepada penerima melalui akaun bank yang telah pun didaftarkan.





SYARAT KELAYAKAN

Skim ini ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40% terendah, yang dikenali sebagai kumpulan B40. Ia adalah percuma kepada penerima yang layak iaitu :


1. Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar.

2. Berumur 40 tahun dan ke atas.

3. Penyertaan adalah secara automatik dan tiada pendaftaran diperlukan.



SEMAKAN STATUS KELAYAKAN

Untuk menyemak kelayakan secara online, sila layari laman web berikut :



MAKLUMAT LANJUT

Untuk maklumat lanjut mengenai Skim Peduli Kesihatan B40 ini, sila follow media sosial rasmi PeKa B40 di Facebook & Twitter.