Pada 4 Ogos 2021 yang lalu, kerajaan Sarawak telah mengumumkan pakej ketujuh Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 7.0) melibatkan peruntukan sebanyak RM800 juta untuk memperkasa aktiviti perusahaan dan perniagaan di negeri itu.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata bantuan itu yang dibahagi kepada tiga langkah akan membantu perniagaan berikutan pembukaan semula ekonomi negeri Pelan Pemulihan Negara (PPN).









LANGKAH BANTUAN PAKEJ BKSS 7.0


Langkah Pertama: Bantuan RM10,000 Buat Peniaga

Kerajaan negeri akan menyediakan bantuan kewangan ’one-off’ khas sebanyak RM10,000 untuk perniagaan aktif di Sarawak yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 31 Disember 2020.


Langkah ini akan membantu mengurangkan beban kewangan kira-kira 40,000 perniagaan aktif di Sarawak yang melibatkan perbelanjaan langsung kerajaan lebih RM400 juta.


Bantuan kewangan khas ini akan dibayar dalam dua fasa iaitu:

Fasa 1 (RM5,000): September 2021
Fasa 2 (RM5,000): Disember 2021



Langkah Kedua: Dasar Perolehan Kerajaan Dilonggarkan

Dasar perolehan kerajaan akan dilonggarkan bagi menyokong perniagaan dalam sektor pembinaan. Projek dengan tarikh jangkaan siap yang jatuh pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan diberikan Lanjutan Tempoh Masa (EOT) secara automatik hingga 60 hari.

Oleh kerana EOT diberikan, Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) yang telah dikenakan akan dikecualikan semasa tempoh PKP diwartakan



Langkah Ketiga: Kelonggaran Dalam Pembaharuan Permit Pekerjaan

Langkah ketiga BKSS 7.0 pula akan membolehkan kelonggaran dalam pembaharuan permit pekerjaan bagi pekerja warga asing di semua sektor bagi memastikan daya tahan ekonomi ketika pandemik ini.

Justeru, pembaharuan permit pekerjaan dengan kebenaran lesen buruh untuk sektor perladangan hingga 31 Disember 2022 semasa Covid-19 akan dilanjutkan kepada semua sektor seperti pertanian, perlombongan, pembinaan dan perkhidmatan.